
Jutaan terima kasih diucapkan kepada Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah kerana mengadakan Program Khidmat Masyarakat bersama SMK Dato’ Dol Said dari segi bimbingan dalam pengurusan dan pengendalian acara secara teori dan praktikal.
Bimbingan dalam pengurusan dan pengendalian acara secara praktikal telah dilaksanakan melalui penganjuran Majlis Apresiasi SPM/STPM 2023 SMK Dato’ Dol Said yang diadakan pada 13 Disember 2023 bertempat di Dewan Taming Sari, UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah. Seramai lebih daripada 30 orang warga UiTM yang terdiri daripada para pensyarah daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media berserta para pelajar Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam (MC242) yang terlibat dalam mengurus dan membimbing pihak sekolah menganjurkan majlis ini.
Dalam Majlis tersebut, pihak Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah bersama-sama para guru SMK Dato’ Dol Said menguruskan acara yang bertujuan meraikan para pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 yang akan meninggalkan alam persekolahan tidak lama lagi. Seramai 223 pelajar yang diraikan bersama-sama lebih daripada 300 ibu bapa yang menghadiri majlis tersebut. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang diraikan dan semoga lebih banyak lagi kejayaan yang diraih di masa hadapan.
Tahniah para pelajar SMK Dato’ Dol Said. Anda insan hebat!!!